Wednesday 18 January 2017

Filled Under:

‘Takpe Cikgu, Memang Saya Tak Bawak Duit’

‘Takpe Cikgu, Memang Saya Tak Bawak Duit’


Waktu awal rehat tadi, aku ke kantin sekolah. Nak isi perut. Aku perasan ada seorang murid berbaju lusuh duduk dibangku agak jauh dari kantin. Tunggu kawan agaknya.

Aku teruskan langkah ke kantin macam biasa. Makan, minum, borak-borak dan bergelak ketawa dengan rakan-rakan guru. Bila waktu rehat habis, aku berjalan ke bilik guru. Mengambil beberapa peralatan untuk ke kelas seterusnya.





Masa ini, murid dah riuh rendah pakat menuju ke kelas masing-masing. Dan sekali lagi mata aku terpaku pada murid berbaju lusuh tadi. Bangun dari tempat sama, melangkah longlai menuju ke kelas. Cepat-cepat aku panggil murid itu,

” Awak mari sini jap. Awak tak makan ke tadi?”

” Tak cikgu. Saya tak bawa duit. Tapi tak apa cikgu, saya tak lapar.”

” Kan cikgu dah pesan semalam semasa murid berkumpul, kalau ada yang lupa bawa duit atau duit hilang, datang je jumpa cikgu.”

” Saya tak lupa bawa duit cikgu. Tapi memang saya dah lama tak bawa duit. Umi hanya bagi duit rm1 minggu pertama selepas ayah dapat gaji sahaja,” jawab murid itu tenang.

” Ini baju awak tahun lepas ke? Ke baju abang awak tahun lepas?” Soalku lagi bila lihat bajunya yang lusuh. Mustahil baju selusuh itu baru dibeli tahun ini.

” Ini baju saya tahun lepas cikgu.”

Air mukanya tenang, tiada keluh kesah. Tiada langsung tanda-tanda sedih atas ujian kemiskinan yang Allah taala timpa pada keluarga mereka. Aku pandang muka murid ini dalam-dalam. Dalam hati terdetik,

” Alangkah redhanya budak seusia ini. Baru berumur 8 tahun, tapi sangat redha dengan ketentuanNYA. Tidak meminta-minta walau aku ada membuka peluang. ”

Perlahan aku tarik dia ke bilik guru. Aku siasat satu persatu. Tentang keluarganya, tentang pekerjaan uminya, tentang pekerjaan ayahnya, tentang segalanya.

Allah. Allah. Allah. Hanya itu aku mampu ucap dalam hati bila mendengar kisahnya. Adik-beradiknya ada 10 orang. Ayah hanya kerja jaga di Selayang. Ibu tak kerja. Ayah ibu masih muda, sekitar awal 40an. Adik-beradik rapat-rapat semuanya.

Aku memutuskan untuk menziarahi keluarga ini balik sekolah nanti. Nak kenali siapa lagi ahli keluarga murid ini, nak lihat wajah umi dan ayahnya yang hebat mengajar anak erti redha.

Pulang dari sekolah, walau dalam hujan renyai-renyai, aku tidak menunda hasratku. Aku tunggu kakaknya datang menjemput dan mengekori mereka pulang ke rumah. Sebelum itu, aku menelefon ayahnya meminta kebenaran untuk ziarah rumah mereka, Alhamdulillah, dialu-alukan dengan tangan terbuka.

Sampai di rumah mereka, aku disambut ayah dan uminya dimuka pintu. Adik-beradik lain berderet di depan pintu, seolah menunggu bakal pengantin datang bertandang. Di sapa dan dijemput masuk dengan ramah mesra.

Diruang tamu, terbentang 3 tilam buruk dan lusuh. Tempat tidur anak-anak mereka agaknya. Maka kami bertemu mata dan bertukar senyum mesra. Aku tarik si abang murid itu yang berada di tahun 5 duduk sebelah aku.

Aku dapat maklumat murid itu kerap sangat tidak datang ke sekolah. Aku beri motivasi dan bertanya punca.

” Cikgu, saya bukan tak nak ke sekolah. Tapi saya malu, saya sering diejek kawan sekelas atas kemiskinan saya. Kasut saya buruk, duit saya tak ada,” tenang dia jawab. Tiada riak sedih, tiada riak untuk meminta simpati.

Murid itu minat sukan. Pernah memenangi pingat dalam beberapa acara termasuk merentas desa. Bila teringat pertandingan merentas desa akan diadakan hujung minggu ini, aku memujuk lagi,

” Awak kan hebat dalam merentas desa. Datanglah esok, esok ada latihan dan hujung minggu ini kita dah lawan.”

” Saya nak pergi cikgu, tapi saya tak ada baju sukan.”

” Soal baju sukan awak jangan risau. Esok cikgu belikan untuk awak. Beg ke, seluar ke, kasut ke yang buruk, cikgu usaha cari sumbangan untuk beli baru buat awak. Yang penting, awak rajin ke sekolah,” balasku padanya.

Dia memandang tepat ke dalam mataku dan dengan bersemangat berjanji hendak ke sekolah. Alhamdulillah, satu kejayaan besar bagi aku.

Hampir sejam aku duduk kat rumah mereka. Menggali dan mendengar cerita penuh minat. Mendengar kisah dari mulut si ayah dan umi sendiri. Allahu, redha sungguh si ayah dan umi. Tiada merungut atas ujian, malah senyuman tidak pernah lekang dari bibir.

Sesekali seluruh ahli keluarga ini ketawa bila Cikgu Kelas Sebelah ini berseloka. Riuh rumah mereka. Seolah kami kenal lama. Seolah aku pun ahli keluarga mereka.

Kata si ayah,

” Cikgu, anak ini rezeki Allah taala. Nak risau apa, Allah dah janjikan rezeki untuk mereka semua. Cuma tak banyak macam rezeki orang lain la.

Kalau semangkuk tapi berkat, jauh lebih baik dari berkati-kati yang tiada keberkatan.”

Aku dengar mutiara kata ini dan simpan dalam hati. Ini mutiara kata dari mereka yang alami sendiri ujian kemiskinan oleh Allah taala. Bukan mutiara kata dari pakar motivasi yang tinggal di banglo 3 tingkat. Kata-katanya walau ringkas, jauh lebih tinggi nilainya dari mereka yang berkata-kata tanpa merasai sendiri ujian ini.

Setelah agak lama, aku meminta izin untuk mengundur diri. Berkali-kali keluarga ini mengucap terima kasih atas kunjungan aku. Seluruh ahli keluarga berdiri dan bersalam menghantarku pulang.

” Cikgu, terima kasih ya. Cikgu guru pertama anak saya yang sampai ke rumah buruk saya,” kata si ayah padaku. Aku hanya tersenyum sahaja.

Sepanjang perjalanan pulang, aku bersyukur dan istighfar dalam hati. Betapa aku sering kali merungut dengan rezeki yang sedikit. Sedang keluarga ini, penuh redha di hati. Allahu.




0 comments:

Post a Comment